
Kembali pada Fitrah
‘Eid’ itu bermaksud ‘kembali’ manakala ‘Fitri’ pula bererti ‘Fitrah’ maka jika difahami secara kasar maksud sebenar EidulFitri itu ialah kembali kepada fitrah. Setelah kita melaksanakan ibadah puasa dan juga amalan-amalan sunat lainnya di bulan yang dilimpahi keberkatan serta penuh nilai pengampunan iaitu bulan Ramadhan maka kedatangan Syawal adalah sebagai hari kemenangan kepada kita. Sesuai dengan maksud kembali kepada fitrah maka Eidulfitri ini perlulah disambut dengan rasa syukur. Hari kemenangan itu sebaiknya dihiasi dengan bertakbir dan bertahmid, bukannya diisi dengan slot hiburan melampau sambil menujukan lagu raya
Bermaaf-maafan sememangnya salah satu perkara yang mulia dan tidak semestinya dilakukan pada hari raya sahaja. Kita teramat biasa dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin‘. Tiada masalah dengan ucapan tersebut sekiranya dilafazkan dengan ikhlas cuma ada anjuran kepada umat Islam dengan ucapan yang lebih baik iaitu Taqabbalallahu minnaa wa minkum yang bererti ‘semoga Allah menerima dari kami dan darimu‘. Maksud menerima di dalam ucapan tersebut diperjelaskan sebagai menerima ibadah kita di sepanjang bulan Ramadhan lalu menjadikan diri kita kembali kepada fitrah.
Dalil berkenaan ucapan Taqabbalallahu minnaa wa minkum ini bersumber dari Al Hafidh Ibnu Hajar [Fathul Bari 2/446]: “Dalam Al Mahamiliyat dengan isnad yang hasan dari Jubair bin Nufair, ia berkata
(yang ertinya): Para sahabat Nabi SAW bila bertemu pada hari raya, maka berkata sebahagian mereka kepada yang lainnya: Taqabbalallahu minnaa wa minkum “.
Benar kita telah terbiasa dengan ucapan ‘Maaf Zahir Batin’ tetapi mengapa tidak pada kali ini kita cuba ubah dengan satu ungkapan yang lebih baik .Ianya merupakan satu doa malah terlalu mulia jika hendak dibandingkan dengan ucapan ‘kosong-kosong’ yang ada diucapkan oleh sesetengah dari kita setiap kali kita bersalaman di hari mulia.
Hati-hati bersalaman di AidilFitri
Sudah diperjelaskan akan maksud kembali kepada fitrah tetapi janganlah pula kita mencalitkan hari kemenangan ini dengan noda dan dosa. Antara contoh paling jelas ialah berkenaan bersalaman memohon maaf. Ianya memang amalan mulia tetapi janganlah sehingga terlupa batasan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Hukum bersentuhan bagi bukan mahramm telah sedia jelas sebagai Haram maka sebaiknya dijauhi.
Saya akui terkadang kita menjadi serba salah sekiranya ada mereka-mereka yang bukan mahram menghulur tangan kepada kita. Untuk tidak menyakitinya, mungkin sahaja kita boleh katakan yang kita mempunyai air sembahyang. Tetapi jika dia berkeras juga sedangkan kita tidak mahu maka terpaksalah berkata dengan jelas ‘HARAM!’
Quran dan Hadith rujukan Islam.
Wallahua 'lam
حج عبد الحليم






