Inilah nikmat yang paling besar dalam kehidupan Muslim apabila tibanya Ramadhan. Maka buatlah yang terbaik untuk Allah SWT sehingga sampai ke peringkat Taqwa sebagaimana FirmanNya yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ (Surah Al-Baqarah ayat 183)
Ramadhan adalah bulan tarbiyyah, juga dikenali sebagai madrasah atau sekolah, yakni tempat kita belajar dan menjalani latihan. Ramadhan tempat kita membersihkan diri dalam satu bulan setelah menjalani hakikat sebelas bulan yang berlalu. Cuba kita tanya, apakah yang telah kita lakukan kepada sebelas bulan itu? Baikkah yang dibuat atau sebaliknya? Tidakkah kesempatan satu bulan ini digunakan sepenuhnya untuk membersihkan sebelas bulan yang telah berlalu?
Jangan sampai Ramadhan menjadi bulan adat. Sebelas yang berlaku dibiarkan sia-sia dengan melakukan kerja yang tidak berfaedah. Bila tiba Ramadhan digunakan untuk bertaubat. Kesalahan yang paling besar dilakukan oleh manusia ialah mereka tahu apa yang dilakukan itu salah, tetapi terus mengulanginya. Dengan harapan, kesalahan itu boleh diampunkan dengan bertaubat atau membersihkannya apabila tiba bulan Ramadhan.
Mentaliti yang sama berlaku dalam memahami konsep haji. Pada pemahaman mereka, dengan mengerjakan haji, diharapkan dapat membersihkan segala dosa. Justeru, masa muda dihabiskan dengan berjoli sana sini. Ibadah haji hanya dikerjakan ketika usia tua. Kenapa? Dengan harapan segala kesalahan dan dosa yang dilakukan semasa muda akan diampunkan oleh Allah SWT setelah mengerjakan haji. Pada pandangannya, jika mengerjakan haji ketika muda, adalah satu kerugian, sebab tidak dapat buat maksiat selepas itu. Inilah salah faham konsep ibadah dalam Islam.
حج عبد الحليم








