السلام عليكم ورحمة الله وبر كا ته
والصلاة والسلام علي رسول الله وعلى اله وصحبه ومن واله
AL-FAQIR HJ ABDUL HALIM B.HJ CHE MAT B.HJ WAN CHIK AL-MERBOKI B.HJ ABDUL RAHMAN.

رَبِّ أَعُوذُ بِـكَ مِنْ هَمَـزَاتِ الشَّيَـاطِينِ، وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَنْ يَحْضُـرُونِ .

Ya Tuhanku, aku berlindung dengan-Mu dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung pula dengan-Mu ya Tuhanku dari kedatangan mereka kepadaku.





Ahad, November 21, 2010

7 Tanda Hati Sudah Mati



7 Tanda Hati Sudah Mati

1. Payah hendak ingat akan Allah SWT pada waktu susah atau waktu senang.
2. Payah hendak mendapat kesan dari peringatan yang datang dari ayat-ayat Allah SWT.
3. Terlalu cinta dunia dan mementingkan diri sendiri.
4. Cenderung kepada perkara haram dan syubahat.
5. Berbangga dengan pendapat-pendapat batil.
6. Cenderung melakukan ketidakadilan dan penzaliman.
7. Menafikan Allah SWT dan kekuasaan-Nya.


Cara mengubat hati yang mati:


1. Berusaha menjauhi makanan yang haram dan syubahat.
2. Usaha supaya mendapat pendidikan dan pimpinan yang mursyid.
3. Selalu mencari kebenaran dan berusaha berada dalam kebenaran.
4. Bersahabat dengan orang yang hatinya suci dan murni.
5. Membuang sifat cinta terhadap dunia.



حج عبد الحليم

Rabu, November 10, 2010

ARAFAH



Keutamaan puasa Arafah ini seperti diriwayatkan dari Abu Qatadah Rahimahullah. Rasulullah SAW bersabda:

صوم يوم عرفة يكفر سنتين ماضية ومستقبلة وصوم يوم عاشوراء يكفر سنة ماضية

Puasa hari Arafah dapat menghapuskan dosa dua tahun yang telah lepas dan akan datang, dan puasa Assyura (tanggal 10 Muharram) menghapuskan dosa setahun yang lepas. (HR. Muslim)

Sementara puasa Tarwiyah dilaksanakan pada hari Tarwiyah yakni pada tanggal 8 Dzulhijjah. Ini didasarkan pada satu redaksi hadits yang artinya bahwa Puasa pada hari Tarwiyah menghapuskan dosa satu tahun, dan puasa pada hari Arafah menghapuskan (dosa) dua tahun. Dikatakan hadits ini dloif (kurang kuat riwayatnya) namun para ulama memperbolehkan mengamalkan hadits yang dloif sekalipun sebatas hadits itu diamalkan dalam kerangka fadla’ilul a’mal (untuk memperoleh keutamaan), dan hadits yang dimaksud tidak berkaitan dengan masalah aqidah dan hukum.
Puasa Arafah dan tarwiyah sangat dianjurkan untuk turut merasakan nikmat yang sedang dirasakan oleh para jemaah haji sedang menjalankan ibadah di tanah suci.

Diriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri, Radhiyallahu ‘Anhu, Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang hamba berpuasa sehari di jalan Allah melainkan Allah pasti menjauhkan dirinya dengan puasanya itu dari api neraka selama tujuh puluh tahun. (HR Bukhari Muslim).

حج عبد الحليم

Khamis, Oktober 21, 2010

QURBAN

Qurban ialah penyembelihan binatang qurban yang dilakukan pada Hari Raya Haji (selepas solat 'Idil Adhha) dan hari-hari Tasyriq iaitu ,11,12 dan 13 Zulhijjah kerana beribadah kepada Allah s.w.t. , iaitu sebagai menghidupkan syariat Nabi Allah Ibrahim a.s. yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syi'ar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur."
(surah al-Haj:36)

"Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah." (Surah al-Kauthar:2)

Daripada Aisyah r.a Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban itu."

(Riwayat al-Tarmuzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Zaid bin Arqam berkata: "Mereka telah bertanya, Wahai Rasullullah, apakah Udhhiyah (Qurban) itu? Nabi Muhammad s.a.w. menjawab: "Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi Ibrahim." Mereka bertanya lagi: Apakah ia untuk kita? Rasulullah s.a.w. menjawab: "Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan." Mereka bertanya: "maka bulu yang halus pula? Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud "Dengan tiap-tiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan." (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)



حج عبد الحليم

Isnin, Oktober 18, 2010

Khamis, Oktober 07, 2010

YAKIN



Erti YAKIN
Orang yakin adalah dia yang beramal semata-mata kerana Allah seakan dia melihat-Nya.Sekalipun dia tidak melihat Allah,namun Allah SWT melihatnya.Dia yakin bahawa apa yang terjadi padanya bukan sesuatu yang keliru dan apa yang tidak terjadi pada dirinya adalah bukan bahagiannya.SEMUA ITU ADALAH RANTING- RANTINGNYA TAWAKAL DAN TANGGA MENUJU SIFAT ZUHUD.. "


Tawakal kepada Allah
"Tawakal bererti engkau mengetahui bahawa selain Allah SWT ,tidak ada yang
boleh mendatangkan sebarang kerugian atau manfaat,memberi atau melarang;dan engkau bersikap tidak menaruh harap pada selainNya. Apabila seorang hamba bersikap dan mempunyai sifat seperti ini maka dia tidak akan mengerjakan sesuatu melainkan kerana Allah SWT semata-mata. Dia tidak tamak memohon kecuali kepada Allah.Inilah yang dikatakan dengan TAWAKAL."


Erti sifat sabar
"Iaitu engkau bersabar di saat duka sebagaimana engkau sabar di saat bahagia;di saat miskin;di saat kaya;di saat menerima bencana, dan di saat sejahtera engkau tidak mengeluhkan keadaanmu kepada makhluk lain atas apa yang engkau terima dari ujian dan derita."


Erti sifat qana'ab berkecukupan
Qana'ah ,bererti engkau merasa cukup dengan apa yang engkau terima dari duniamu;engkau merasa cukup dengan yang sedikit dan bersyukur atas apa yang ala kadarnya."

Erti redha
"Orang yang redha adalah orang yang tidak murka pada tuannya, apakah dia memperolehi dunianya atau tidak;dan dia tidak rela dirinya menjalankan suatu tanggungjawab sekadarnya."

Erti Zuhud
Orang yang zuhud adalah dia yang mencintai orang yang cinta pada Khaliknya,benci pada orang yang membenci Khaliknya,bersikap berhati-hati dari bahagian dunia yang halal,dan tidak menoleh pada bahagian yang haram.Kerana,yang halalnya pasti akan dihisab dan yang haramnya akan dihukum.Dia kasih kepada seluruh kaum Muslimin seperti halnya dia kasih pada dirinya.Dia bersikap waspada ketika berbicara sebagaimana dia menghindar dari bangkai yang sangat busuk baunya. Dia berhati-hati dari tipu daya dunia dan keindahannya sebagaimana dia menghindari api dari melahapnya.Dia tidak berangan-angan panjang dan menganggap seakan ajalnya sudah berada di hadapan matanya."


Erti ikhlas
Orang ikhlas adalah dia yang tidak memohon dari manusia lain,tapi berusaha keras sampai dia memperolehi cita-citanya; apabila dia telah memperolehinya, dia akan rela.Jika masih ada sesuatu yang tersisa di tangannya ,dia akan memberinya kerana Allah SWT semata-mata.Orang yang tidak memohon dari makhluk,bererti dia telah menyatakan sikap ubudiyyab (kehambaan) kepada Allah Azza Wajalla.Jika dia memperolehinya lalu dia rela, bererti dia telah rela pada Allah SWT dan Allah AWT juga rela padanya.Apabila dia memberi semata-mata kerana ALLAH Azza Wajalla,maka dia memberinya dengan penuh keyakinan akan janji-Nya."



حج عبد الحليم


Isnin, September 27, 2010

KHASIAT TONGKAT


Kata Ibnu ‘Abbas Radhiyallahu’anhuma : Bermula bertongkat itu daripada perangai anbiya’, dan adalah Nabi Shalallahu’alaihi wassalam bertongkat ia dan menyuruh ia dengan dia dan daripada Nabi Shalallahu’a laihi wassalam, sabdanya : »Bertongkat itu alamat orang mu’min dan sunnah anbiya ». Dan barangsiapa keluar musafir dan ada sertanya tongkat daripada kayu Lauz yang pahit, nescaya


· diamankan dia oleh Allah Taala daripada sabu’, yakni binatang yang memberi mudharat
· dan daripada pencuri yang menyengaja akan dia
· dan daripada binatang yang mempunyai racun seperti ular dan kala hingga kembali ia         kepada tempat kediamannya
· dan adalah serta orang bertongkat itu 70 malaikat mengawali akan dia

Kata Hasan Bashri « Bagi bertongkat itu 8 perkara :
· Sunnah anbiya’
· Perhiasan bagi orang shulaha’ (orang-orang soleh)
· Senjata atas seteru
· Menolong ia akan orang yang dha’if
· lari daripada empunyanya oleh syaitan
· Merendahkan daripadanya oleh orang fajir yang jahat
· Qiblat bagi empunyanya
· Menguatkan dia apabila penat


Dan daripada Nabi Shallahu’alaihi wassalam: “Barangsiapa sampai 40 tahun umurnya dan tiada ia bertongkat dibilangkan dia daripada orang takabbur dan ‘ujub.” Wallahu’alam

AL-JAUHAR AL-MAUHUB WA MUNABBIHAT AL-QULUB

KATA HATI: Setiap sesuatu yang dijadi oleh sang pencipta Allah Subahanallah Taala ada hikmahnya. Ia tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia.Terpulang kita sebagai manusia memikirkannya.




حج عبد الحليم

Khamis, September 23, 2010

dhuha dan witir


Kelebihan Solat Witir


Solat Witir ialah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam selepas solat isyak sehingga terbit fajar saddiq (sebelum masuk waktu subuh), lebih afdal lagi bila ia dilakukan pada sepertiga malam yang terakhir. Ia boleh dilakukan setiap malam, tidak hanya pada bulan ramadan sahaja.

Solat Witir adalah solat yang unik kerana dikerjakan pada jumlah rakaat yang ganjil jumlahnya iaitu sekurang-kurangnya satu rakaat, selebihnya 11 rakaat. Paling afdal ialah 3 rakaat iaitu dimulai dengan solat witir dua rakaat satu salam dan disambung dengan solat witir satu rakaat satu salam. Kerana ianya unik, Solat witir mesti dilakukan dengan rakaat yang ganjil sebagai penyudah.

Solat witir sangat digalakkan untuk dilakukan berdasarkan hadis Nabi Muhammad saw

Rasulullah saw, bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah itu witir (ganjil), dan Dia menyukai witir, maka lazimkanlah solat witir, wahai ahli Al-Quran.”

Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.

“Sesiapa yang mengerjakan sembahyang dhuha, berpuasa tiga hari daripada sebulan dan tidak pernah meninggalkan sembahyang witir sama ada dalam pelayaran dan bermuqim, dicatat baginya pahala orang syahid.”

Hadis riwayat at-Thabran

“Witir itu hak (benar). Barangsiapa yang tidak berwitir ia bukan dari golongan kita! Witir itu hak maka barang siapa yang tidak mengerjakannya ia bukan dari golongan kita!
Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud

Nabi Muhammad saw bersabda: marhumnya

“Sesungguhnya Allah telah memberikan (hadiahkan) kepada kamu satu solat, yang mana ianya adalah lebih baik daripada unta-unta yang terbaik. Iaitulah Solat Witir.

Kelebihan solat sunat dhuha

Antara kelebihan solat dhuha ialah dapat memberikan ketenangan dalam hidup kita dan insyaALLAH membuka pintu rezeki dan insyaALLAH dimurahkan rezeki sentiasa disamping mendapat keredhaan ALLAH.

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri ialah sembahyang sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, Antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:-

Maksudnya :"Kekasihku Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan"

( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Dalam riwayat yang lain Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda yang maksudnya : " Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah ( sebagai ganti ) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha ."

( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab "An-Nurain" sabda Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya : "Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan." Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

"Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih dilautan."

(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu berkata :

"Aku mendengar Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam berkata : "Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas"

(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda bermaksud :

" Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,"

( Riwayat At-Thabarani )

Doa’ sembahyang Dhuha ialah:

" Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu.

Ya Allah jika rezekiku masih diatas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan Kekuasaan Mu, limpahkanlah kepada hamba-hamba Mu yang saleh ."




حج عبد الحليم

Sabtu, September 11, 2010

PUASA ENAM


Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah berfirman yang maksudnya: "Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Dan hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan jika ia meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan kepadanya, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi." (Hadis riwayat Al-Bukhari)


Antara ibadat sunat yang amat digalakkan selepas puasa wajib Ramadan ialah puasa enam hari semasa Syawal. Persoalannya, bilakah waktu terbaik melakukannya, dan bagaimanakah cara untuk menunaikannya jika puasa wajib belum lagi diganti atau diqada?

Puasa enam hari pada Syawal sebenarnya amat besar ganjaran yang ditawarkan Allah. Ia disebut secara jelas oleh Rasulullah SAW.

Dilaporkan daripada Abu Ayyub al-Ansari bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa berpuasa sepanjang Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seakan-akan dia berpuasa selama satu tahun." (Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Ini bermakna dengan berpuasa sunat selama enam hari pada Syawal selepas berpuasa wajib pada Ramadan, seolah-olah mereka berpuasa sepanjang tahun.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah telah menggandakan setiap kebaikan dengan sepuluh kali ganda. Puasa Ramadan setara dengan berpuasa sebanyak sepuluh bulan. Dan puasa enam hari Syawal yang menggenapkannya satu tahun." (Hadis riwayat An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Hadis ini mempamerkan bahawa ganjaran diberikan Allah itu sepuluh kali ganda. Ini bermakna jika kita berpuasa selama 30 hari pada Ramadan, maka digandakan menjadi 300 hari, manakala puasa enam hari pada Syawal digandakan menjadi 60 hari. Ganjaran Allah adalah sebanyak 360 hari.

Persamaan yang lain, jika berpuasa selama sebulan pada Ramadan akan menyamai 10 bulan, kemudian diikuti puasa selama enam hari pada Syawal akan menyamai dua bulan. Justeru genaplah berpuasa selama setahun.

Ada dua pendapat ulama mengenai hal ini. Majoriti ulama berpendapat, puasa enam dilakukan secara berturut-turut selepas Hari Raya. Ia dimulai pada hari raya kedua dan seterusnya sehingga genap enam hari. Sebahagian ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.

Justeru, kita mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan sama ada melakukannya secara berturut-turut ataupun berselang seli.

Bagaimanakah pula kaedah menunaikan puasa sunat pada Syawal jika puasa Ramadan masih belum diganti atau qada? Persoalan itu juga mempunyai beberapa pandangan. Pendapat pertama mengatakan adalah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat hanya puasa qada pada Syawal. Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.

Pendapat kedua ialah jika seseorang melakukan kedua-duanya secara berasingan akan mendapat kelebihan di sisi Allah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah, maka memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan antara yang wajib dengan sunat lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba.

Ada juga ulama berpendapat bahawa puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadan akan datang.

Lakukan ibadat sunat ini sama ada berpuasa secara berturut-turut atau berselang-seli. Begitu juga dengan puasa qada. Lakukanlah sama ada secara digabungkan puasa enam dengan puasa qada ataupun secara berasingan.

Terpulanglah kepada diri kita sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing. Hal ini kerana ganjaran ditawarkan Allah amat besar. Ia juga adalah tambahan kepada kekurangan yang diimbangi oleh zakat fitrah.

حج عبد الحليم

Selasa, September 07, 2010

SALAM 'EIDUL FITRI



Kembali pada Fitrah

‘Eid’ itu bermaksud ‘kembali’ manakala ‘Fitri’ pula bererti ‘Fitrah’ maka jika difahami secara kasar maksud sebenar EidulFitri itu ialah kembali kepada fitrah. Setelah kita melaksanakan ibadah puasa dan juga amalan-amalan sunat lainnya di bulan yang dilimpahi keberkatan serta penuh nilai pengampunan iaitu bulan Ramadhan maka kedatangan Syawal adalah sebagai hari kemenangan kepada kita. Sesuai dengan maksud kembali kepada fitrah maka Eidulfitri ini perlulah disambut dengan rasa syukur. Hari kemenangan itu sebaiknya dihiasi dengan bertakbir dan bertahmid, bukannya diisi dengan slot hiburan melampau sambil menujukan lagu raya

Bermaaf-maafan sememangnya salah satu perkara yang mulia dan tidak semestinya dilakukan pada hari raya sahaja. Kita teramat biasa dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin‘. Tiada masalah dengan ucapan tersebut sekiranya dilafazkan dengan ikhlas cuma ada anjuran kepada umat Islam dengan ucapan yang lebih baik iaitu Taqabbalallahu minnaa wa minkum yang bererti ‘semoga Allah menerima dari kami dan darimu‘. Maksud menerima di dalam ucapan tersebut diperjelaskan sebagai menerima ibadah kita di sepanjang bulan Ramadhan lalu menjadikan diri kita kembali kepada fitrah.

Dalil berkenaan ucapan Taqabbalallahu minnaa wa minkum ini bersumber dari Al Hafidh Ibnu Hajar [Fathul Bari 2/446]: “Dalam Al Mahamiliyat dengan isnad yang hasan dari Jubair bin Nufair, ia berkata
(yang ertinya): Para sahabat Nabi SAW bila bertemu pada hari raya, maka berkata sebahagian mereka kepada yang lainnya: Taqabbalallahu minnaa wa minkum “.

Benar kita telah terbiasa dengan ucapan ‘Maaf Zahir Batin’ tetapi mengapa tidak pada kali ini kita cuba ubah dengan satu ungkapan yang lebih baik .Ianya merupakan satu doa malah terlalu mulia jika hendak dibandingkan dengan ucapan ‘kosong-kosong’ yang ada diucapkan oleh sesetengah dari kita setiap kali kita bersalaman di hari mulia.


Hati-hati bersalaman di AidilFitri
Sudah diperjelaskan akan maksud kembali kepada fitrah tetapi janganlah pula kita mencalitkan hari kemenangan ini dengan noda dan dosa. Antara contoh paling jelas ialah berkenaan bersalaman memohon maaf. Ianya memang amalan mulia tetapi janganlah sehingga terlupa batasan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Hukum bersentuhan bagi bukan mahramm telah sedia jelas sebagai Haram maka sebaiknya dijauhi.

Saya akui terkadang kita menjadi serba salah sekiranya ada mereka-mereka yang bukan mahram menghulur tangan kepada kita. Untuk tidak menyakitinya, mungkin sahaja kita boleh katakan yang kita mempunyai air sembahyang. Tetapi jika dia berkeras juga sedangkan kita tidak mahu maka terpaksalah berkata dengan jelas ‘HARAM!’

Quran dan Hadith rujukan Islam. 

Wallahua 'lam


حج عبد الحليم

Jumaat, Ogos 27, 2010

Kesedihan terasa ,pemergian mu.....Ramadhan



” Ya ALLAH, terimalah puasa ku dan segala amalan ku di dalam bulan Ramadhan pada tahun ini. Maafkan ku atas kealpaan ku dalam bulan Ramadhan. Berilah kami petunjuk supaya aku tidak menjadi manusia yang rugi selepas pemergian Ramadhan pada tahun ini. Ya ALLAH, kurnia kan ku kekuatan untuk beristiqomah dalam amalan yang aku lakukan dalam bulan Ramadhan tahun ini. Jadikanlah bulan Ramadhan tahun ini sebagai titik perubahan aku untuk menghargai Ramadhan yang akan datang, supaya aku tidak lagi mensia-siakan Ramadhan akan datang. Ya ALLAH pertemukan aku dengan bulan Ramadhan akan datang, dan kurnia kan ku umur yang panjang bagi menegakkan agamaMu di muka bumi ini”
Ameen…


Sabda Rasulullah saw : Allah swt berfirman :



“semua ibadah keturunan Adam (As) untuknya, kecuali puasa, sungguh itu untuk Ku, dan Aku yg akan mengganjarnya (tanpa perhitungan malaikat), dan puasa adalah benteng dari neraka, dan jika dihari puasa kalian, maka janganlah bercakap yg buruk/asusila, jangan bertengkar dan membentak, jika ada yg mencacinya atau menantangnya, maka katakanlah aku sungguh orang yg berpuasa, dan Demi Yang Diriku dalam genggaman Nya (sumpah beliau saw), sungguh aroma tak sedap di mulut orang yg berpuasa, lebih wangi disisi Allah swt dari wanginya minyak wangi termahal, dan bagi yg berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan saat berbuka, dan gembira saat berjumpa Pencipta Nya, ia gembira dg puasanya”
(Shahih Bukhari)